3.00-6.25 PETANG Hujan renyai – renyai
sepanjang jalan menuju Kuala Lumpur membuatkan aku kurang selesa. Titis –titis
hujan memenuhi segenap cermin bas. Membentuk
seakan-akan manik-manik kecil yang cantik. Aku pula semakin kesejukan di
dalam perut bas. Kesejukan yang semakin mencengkam ke tulang. Mungkin kerana
cuaca di luar yang semakin dingin. Di
tambah pula dengan penghawa dingin yang sengaja di pasang dengan kuat
menyebabkan aku menjadi kaku. Perjalanan yang memakan masa selama 3jam ini
benar-benar membuatkan aku letih. Letih mengharungi perjalanan yang
panjang.mujur, aku membawa novel kegemaranku
“ Salina” bersama. Aku isikan masa dengan membaca novel. Penumpang tidak
begitu ramai. Ini membuatkan aku aman dan selesa untuk membaca. Kebanyakan
penumpang lelap. Mungkin terlena kerana kedinginan cuaca di luar. Ataupun
kedinginan Penghawa Dingin. Aku meneruskan pembacaan. Bas meluncur laju menuju
ke destinasi. Tanpa di sedari, bas telah pun memasuki Bandaraya Kuala Lumpur. Bergerak
menuju ke Hentian Puduraya. Bas bergerak perlahan memasuki hentian Puduraya.
Sebaik sahaja bas berhenti,aku bergerak menyusuri penumpang-penumpang lain
untuk keluar. Hujan masih lagi renyai. Aku bergegas meninggalkan Puduraya
menuju ke MacDonalds yang terletak kira-kira 100 meter dari puduraya. Aku
mempercepatkan langkahan. Aku bimbang pakaian akan basah kuyup. Pelanggan tidak
begitu ramai ketika aku sampai. Mungkin hujan yang melanda Kuala Lumpur
menyebabkan para penghuninya kurang berminat untuk keluar melakukan aktiviti
rutin. Mungkin senang duduk di rumah menonton T.V. atau pun keluar menonton
wayang. 6.00-7.00 PETANG Aku memerhatikan kesibukan kota
dari dalam. Hari semakin petang. Lampu-lampu neon mula bemergelapan di sekitar
kota raya. Kuala Lumpur mula bermandi cahaya. Jam menghampiri 6.45 petang.
Pelanggan mula memenuhi segenap pelusuk Restoran segera. Aku masih lagi
menantikan kehadiran seseorang.seseorang yang pernah mewarnai hati ini.
Seseorang yang pernah menjadi teman dalam mimpi ku. Kerana dia, aku ke kota
metropolis ini.. Aku mulai gentar. Jantung mulai berdegup laju. Bimbang
mungkin. Bagaimana pandangannya terhadap ku nanti? Inilah pertemuan kali
pertama kami setelah 3 tahun tidak bersua semenjak menamatkan pengajian di Universiti
dulu. Dan kepalaku ligat berputar memikirkan persoalan dan tanggapan yang bakal
timbul dalam pertemuan kali ini. Adakah
dia seperti dulu? Sama seperti yang aku kenali dari segi fiil dan sikapnya. Dan
segalanya semacam payah untuk difikirkan. Aku membiarkan segala persoalan dan
tanggapan yang buruk-buruk itu berlalu pergi. Pergi bersama angin senja yang
kian menghambat waktu. Penantian sememangnya menyakitkan.
Aku cuba untuk bersabar semampu yang mungkin. Hati mulai dipaut rasa resah.
Mungkinkah pertemuan yang di rancangkan tidak menjadi kenyataan? Aku buangkan
segala andaian jauh-jauh. Berfikir secara positif dan logik adalah yang terbaik ketika waktu-waktu
begini. Tiba-tiba sahaja telefon bimbit ku berbunyi mematikan lamunan yang sedang memuncak. SMS darinya. “Maaf aku lambat sikit.
Kereta aku ada masalah. Harap kau tak marah. Dalam jam 8.00, aku sampai”. LIZA.
Ringkas dan penuh dengan simbolik. Aku menggeleng-geleng kan kepala. Tanda
kecewa. Aku cuba untuk menahan rasa kecewa yang kian menebal. Aku mengingati
kembali isi SMS yang di hantar pada ku minggu lepas. Liza beria-ia meminta aku
untuk datang menemuinya di Kuala Lumpur bertemu di Restoran segera MacDonalds..
Katanya ada ‘perkara besar’ yang ingin di bicarakan. Dan hari ini adalah
harinya. Aku tidak ingin memikirkan ‘perkara besar’ yang ingin di sampaikan
nanti. Cuma aku kian kecewa dengan sikap
Liza. Jam menunjukkan 7.30 petang. Aku segera keluar bergegas ke Puduraya
mencari surau. Melaksanakan perintahNYA, tunduk mengagungkan kebesaran dan
kehebatanNYA. Aku terasa tenang dan damai jauh di pelusuk hati. Aku benar-benar
merasai nikmatNYA. Selesai solat, aku berdoa memohon
di beri kecekalan jiwa agar dapat menghadapi hidup yang serba mencabar.
Berharap juga agar pertemuan ini menjadi realiti dan segalanya lancar dengan
izin maha Esa. Selesai berdoa, aku kembali ke MacDonalds menantikan Liza. Aku
segera teringat kembali kisah silam kami berdua ketika di Universiti dulu.
Bagaimana kami kenal, bagaimana kami menjadi kawan baik dan akhirnya aku
sendiri jatuh cinta pada Liza. Bagaimana Liza menolak niat hati ku yang murni.
Segalanya berputar bagai lembayung. Aku terluka dengan penolakkan Liza terhadap
niat suciku. Lebih parah bila mengetahui hatinya kini milik seseorang. Menyembuhkan
luka yang tampak di mata terlalu mudah. Tapi untuk menyembuh luka di hati
mungkin sukar. Dan itu adalah fakta. Fakta yang tidak mungkin di padamkan
kebenarannya. Hakikatnya, aku tidak pernah sembuh dari kelukaan tersebut. Aku
mengakui bahawa aku masih punyai perasaan sayang pada Liza. Sama ada Liza
menyedari atau tidak, aku tidak pasti. Aku hanya memiliki baying-bayangnya
cuma. Tidak pernah sekalipun mampu memiliki hatinya. Dan setiap saat dan tika
aku mengharapkan agar ada keajaiban muncul dalam hubungan kami. Tapi aku sedar
segalanya adalah mustahil. Keajaiban itu hanya milik maha Esa. Aku sedar hal
itu. Liza hanya menganggap aku cuma seorang kawan baiknya. Dan itulah
seringkali diucapkan ketika di Universiti dulu. Segalanya tetap sama hingga kini.
Dan aku tidak akan sesekali melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Liza.
Walaupun, batasan itu membuatkan aku derita. “Lama dah tunggu?”. Aku terkejut
dengan sapaan tersebut.sekaligus mematikan lamunan. Liza tersenyum memandang
kearah ku. Liza duduk di depan ku tanpa di pelawa. 8.00-9.00 MALAM
Hujan tetap renyai. Serenyai
perasaan aku ketika ini. Cuaca bertambah sejuk di luar. Para pelanggan semakin
kurang di dalam restoran. Beberapa meja kelihatan kosong. Di tingkat atas; di
mana aku dan Liza berada, Cuma kelihatan
sepasang pasangan Cina yang sedang enak menikmati hidangan yang di
pesan. Kesenyapan mengigit kejap suasana. Aku membisu. Begitu juga Liza.
Mungkin perasaan gementar masih lagi membaluti perasaan. “ Macam mana perjalanan tadi?” soal
Liza. Suasana sunyi mulai berakhir. “Seronok. Mungkin sebab aku dah
lama tak naik bas, aku menikmati setiap perjalan tadi”. Ujar ku. Aku
melontarkan senyuman. “ Maaf pasal terlewat tadi. Kereta
‘buat hal’. Sebenarnya aku nak beritahu lebih awal, tapi aku terlupa. Maaf
ya?” Liza memberi penjelasan. Ada raut
kekesalan di wajahnya. “ Tak mengapa, semua itu bukan
kehendak kau. Lagipun perkara dah terjadi kan?” Aku cuba menggembirakan
hatinya. Ternyata aku berjaya. Wajahnya beransur-ansur ceria. Segaris senyuman
mulai terukir di bibirnya yang mugil. “ Aku tau, kau tak kan ambil hati
pasal hal remeh macam ni. Itu sebabnya aku suka kawan dengan kau”, ujar Liza. “Jadi, apa perkara besar yang kau
nak cakapkan pada aku?”. Aku mengerling ke
arah Liza. Dia tenang dengan pertanyaan aku. Setenang bulan yang
bersinar di malam hari. Tiada reaksi. Aku kaget. Bimbang soalan ku tadi
menyentap rasa emosinya. “ Habiskan hidangan dulu. Aku nak
bawa kau pergi ke satu tempat. Mungkin kita boleh berbicara di sana. Tempat ini tidak sesuai untuk
perkara sebegitu. Liza bersuara dengan tiba-tiba. Bagaikan ada kuasa yang
merasuki,aku patuh tanpa bicara. Segera menghabiskan hidangan yang masih
bersisa. “Ke mana kau nak bawa aku ni?”.
Soal ku. Liza mendiamkan diri. Menghabiskan makanan yang masih tinggal. Reaksi
Liza itu membuatkan aku tertanya-tanya. Pelbagai-bagai soalan
berlegar-legar di kotak minda.
10.00 MALAM- 6.00 PAGI
Bayu laut yang menghembus terasa
dingin. Aku terpegun melihat keindahan pantai di malam hari. Cahaya dari
tongkang-tongkang kecil milik nelayan berkelip-kelip. Seperti kunang-kunang
yang menari-nari di dalam hutan. Aku menikmati keindahan ciptaanNYA dengan rasa
syukur dan takjub. Pandangan ku beralih kepada Liza yang berada di sebelah.
Ternyata dia juga menikmati keindahan sama seperti mana aku menikmatinya. “ Hidup ini tidak semudah yang kita sangkakan,
betul?”. Liza membuka bicaranya. Sambil itu matanya tidak lepas-lepas memandang
ke arah tongkang-togkang kecil di tengah laut. Bicara Liza membuatkan aku
tersentak dari lamunan. Aku segera berminat dengan persoalannya. “ Itulah kehidupan. Tiada apa yang
mudah dalam kehidupan. Hidup ini adalah pertembungan antara realiti dan
fantasi. Dan selalunya realiti sentiasa melingkari hidup lebih dari
fantasi,walaupun ada kalanya fantasi itu indah untuk difikirkan,” aku menjawab
dengan tenang. Jawapan yang tidak disangka-sangka itu segera menyentap Liza.
Dia berpaling kearah aku. Tersenyum. “ Sejak bila pula kau pandai
berfalsafah tentang kehidupan ni?”. Liza melahirkan rasa kurang senang dengan jawapan
aku tadi. “itu bukan falsafah. Tapi hakikat
kehidupan yang mesti di tempuhi oleh setiap manusia,” ujar ku. Liza terdiam
dengan kata-kata tersebut. Riak wajahnya seolah-olah mengakui kebenaran
kata-kata yang terbit dari bibirku sendiri. “Kau lihat di sana; tanganku segera
menuding ke arah tongkang-tongkang nelayan yang sibuk mencari rezeki di dalam
kepekatan malam. “Mereka juga punyai impian untuk
hidup dalam kesenangan. Impian yang serupa seperti orang lain”. Aku
berhenti.seraya memandang Liza. Liza kelihatan memberi perhatian pada hujah ku.
Dia agak terganggu dengan pandangan ku. “Teruskan kata-kata kau tu. Aku
hairan kenapa kau bersikap skeptikal malam ni?. Kau bukan seperti Zam yang aku kenal selama ni” Ujar
Liza. Dia agak hairan dengan sikap ku itu. “Mereka ada impian dan fantasi
sendiri. Mahu hidup mewah, ada banglo besar. Ada kereta dan mampu membahagiakan
keluarga. Tapi itu Cuma impian dan fantasi yang tidak mungkin dapat digapai
oleh mereka. Dan realitinya, mereka terpaksa menyabung nyawa, mencari
penghidupan yang sempurna di mata mereka. Seperti mana sekarang. Aku mengakhiri
kataku yang agak panjang. “Jadi maksudnya, setiap manusia itu
punyai cita-cita dan impian seperti yang pernah mereka fantasikan atau
fikirkan. Pada akhirnya, kita terpaksa berpijak pada kenyataan walaupun ia
tidak seindah dan semanis yang kita sangka. Betul?”. Liza cuba metafsir
simbolik dari kata-kata ku. Aku tersenyum.begitu juga Liza. Angin dari laut terus menerus
bertiup lembut di pantai ini. Pantai ini mungkin memberi harapan kepada para
penduduknya yang rata-ratanya adalah nelayan. Harapan dalam segala bentuk.
Harapan untuk memajukan kehidupan mereka yang serba daif. Harapan agar generasi
selepas mereka dapat menyambung perjuangan mereka dalam mencari rezeki di
pantai ini. Harapan kepada masyarakat agar menghargai keindahan pantai ini
dengan sebaik mungkin. Aku berfikir sendirian. Kerana itu jugalah pantai ini
dinamakan Pantai Harapan. Mungkin juga. Siapa tahu. Liza kelihatan leka bermain
di gigi air. Lakunya itu membuatkan aku ketawa kecil. Masih lagi
keanak-anakkan. Tidak sepadan dengan usianya yang semakin matang. Aku bersantai
di dada pasir,tidak jauh dari tempat Liza bermain. Aku segera mendekatinya.
Rembulan yang tadi pucat di balik awan, kini bersinar megah menemani malam yang
kian tua. “ Ada masanya kita perlu menjadi
keanak-anakkan dalam sesuatu hal. Barulah hidup ini akan lebih bererti”. Ujar
Liza setelah menyedari kehadiran ku. Mungkin juga dia dapat membaca apa yang
terlintas di hatiku tentang dirinya itu. Aku tersenyum dengan kata-katanya. Aku berjalan menyusuri sepanjang
pantai.beriringan dengan Liza. Dia kelihatan ceria sekali bercerita tentang
kenangan semasa di Universiti dulu. Sesekali aku menyampuk percakapannya.
Membuatkan rembulan makin tersenyum di balik awan. Setelah penat menyusuri
pantai,kami berehat di dada pasir. Ketika ini aku bertanya kepada Liza. “Jadi apa perkara besar yang ingin
kau beritahu padaku?”. Liza menghalakan pandangannya pada ku. Lama dia terdiam. “Aku akan bertunang hujung minggu
depan”. Tutur Liza. Aku tersentap dengan kata-kata Liza. Tapi aku cuba
menenangkan perasaan. Berpura-pura tidak ada apa yang terjadi. “Cuma itu saja? Tidaklah besar
sangat. Aku gembira mendengarkannya”. Aku tersenyum. Aku tidak tahu mengapa aku
tiba-tiba tersenyum mendengarkan berita itu, sedangkan hati benar-benar terluka
dengan perkhabaran tersebut. Buat seketika aku tertunduk lesu. Memejamkan mata.
Memaksa diri menerima hakikat bahawa penantian selama ini adalah sia-sia. “ Ada yang lebih besar dari itu
yang ingin aku bicarakan”. Ujar Liza. Aku Cuma mendiamkan diri ketika ini. “Aku tahu, kau masih ada perasaan
pada ku bukan?”. Liza segera mengalihkan pandangannya pada ku. Aku tersentak
dengan pertanyaan yang tidak di duga itu. “Bertepuk sebelah tangan tidak
mungkin akan berbunyi. Aku cuma berharap pada yang tidak pasti. Aku sedar hal
itu.” Aku membalas kata-kata Liza. “Kalau kau sedar, kenapa masih
berharap lagi?”. Pertanyaan Liza makin menyempitkan perasaan ku ketika ini. “Aku percaya bahawa pasti ada
keajaiban di suatu hari nanti. Tuhan pasti akan menolong aku”. Ujar ku penuh
keyakinan. Liza hampir menangis mendengar pernyataan itu. Aku tahu dia terlalu kecewa dengan
pernyataan tersebut. Dia terdiam. Kehilangan kata-kata. “Aku cuma anggap kau sebagai teman
baik ku sahaja. Tidak lebih dari itu. Dan itu yang pernah aku katakan dulu.
Hakikatnya tidak pernah berubah”. Ada kesayuan dalam nada suaranya. Aku
mendengarnya dengan tenang. “Maaf…Aku terpaksa melukakan hati
kau kali ini. Hati ini bukan milik kau. Harap kau memahaminya.” Liza menyambung
kata-katanya. Membuatkan aku bertambah duka. Hati kecil ku kini menangis
mendengar pernyataan Liza. Aku cuba menguatkan perasaan yang semakin sayu. “ Tidak mengapa, aku faham. Itu
kata hati kau. Aku doakan yang terbaik buat kau.”. Aku melemparkan senyuman
pada Liza. Sambil memujuk hati menerima rasa kecewa yang makin berombak-ombak
di jiwa. “ Terima kasih. Aku sentiasa berharap
kau akan berjumpa dengan seorang wanita idaman kau. Suatu hari nanti.” Liza tersenyum riang. “ Aku benar-benar berharap agar kau
dapat lupakan aku. Kita lebih sesuai untuk menjadi teman. Itu harapan ku.” Ujar
Liza dengan penuh pengharapan. Aku diam membisu. Saat ini tiada apa ungkapan
yang dapat aku lafazkan. Rasa pilu dan kecewa memenuhi segenap jiwa. “ Kau pernah dengar cerita Pungguk
rindukan bulan?”. Aku menyoal Liza. Segera ku tanyakan soalan itu pada Liza.
Liza kelihatan tertawa. Dia segera mengangguk-anggukkan kepalanya. “Pernah. Zam, kisah Pungguk itu
cuma dongengan. Hanya cerita karut yang dibuat-buat. Mana mungkin Pungguk
memiliki si Bulan yang jauh tinggi di awan. Jangan kata bahawa kau percaya
cerita sebegitu”. Perli Liza padaku. Aku tersenyum dengan kata-kata Liza. “Cerita itu cuma punya makna
tersirat. Cerita yang punyai kiasan. Kisah seseorang lelaki yang setia menanti
wanita yang disayanginya kembali. Kembali menerima cintanya, walaupun dia sedar
dia tidak mungkin memiliki hati wanita itu. Bukan cuma cerita karut
semata-mata. Cerita tentang kesetiaan dan cinta suci seorang lelaki. Dongeng
yang indah bukan?”. Ujar ku. Wajah Liza berubah dengan tiba-tiba. Masam.
Sindirannya tadi berpatah kembali.terkena diri sendiri. “Zam. Tolong jangan nak mulakan kembali pasal kita. Keputusan aku
tidak mungkin berubah. Faham?”. Nada suara Liza mula berubah warna. Ada
ketegasan dalam nadanya. Matanya merah menahan marah yang tiba-tiba meluap. Aku
kembali terdiam. Bulan semakin pucat di balik awan.
Suasana di pantai kelihatan sunyi. Sesekali terdengar desiran ombak memukul
pantai. Tongkang-tongkang nelayan sudah
tidak lagi kelihatan. Mungkin para nelayan-nelayan itu telah kembali ke jeti
membawa pulang rezeki masing-masing. Liza Cuma mendiamkan diri melihat pantai
yang kosong dan sepi. Aku turut sama memerhatikan pantai yang kosong dan luas.
Seperti kosongnya perasaan aku ketika ini. “Zam, cuba belajar untuk lupakan
aku boleh?. Aku tahu bukan mudah untuk kau, tapi itu yang terbaik buat diri
kau. Masa akan membuatkan kau lupa pada ku. Janji pada ku boleh?. Janji lupakan
hasrat kau untuk memiliki aku.”. Liza merayu. Saat ini tangannya erat
menggengam tanganku. Aku terkesima. Mulutku terkunci rapat. Kehangatan
jari-jemarinya benar-benar membuatkan aku tiba-tiba sebak. Sebak dengan
permintaan Liza yang sudah pasti payah untuk
aku tunaikan. Hati ku makin sebak merasakan eratnya genggaman tangan
Liza. Tangan yang tidak mungkin dapat di kucup mesra atau digenggam erat
seperti mana yang sering aku mimpikan dalam mimpi-mimpi tidurku selama ini. Aku
pasti ini adalah pertemuan terakhir dengannya. Aku pasti. Aku tertunduk lesu.
Tika ini, segala kata tidak lagi bermakna. Jiwa kian duka tersungkur di pintu kasih. Aku cuma
mengangguk lemah tanda setuju. “Harap kau akan mengotakan
janji-janji itu.” Liza mengorak senyuman. Secantik mawar yang berkembang di
pagi hari. “Kita akan tetap jadi sahabat
sampai bila-bila Zam. Itu janji aku”. Sambung Liza. Saat ini aku berpaling
merenungnya. Berfikir, mencari kebenaran kata-katanya. Apakah mungkin seorang
wanita sepertinya. Yang hatinya bakal dimiliki oleh lelaki idaman hati, mampu
menjadi sahabat kepada ku. Kesangsian mulai hadir di hati. Apakah kata-kata
Liza sekadar pujukan untuk membaluti hati yang kian luka? Atau kata-kata itu
lahir dari hatinya yang benar-benar tulus ikhlas sebagai sahabat. Semua itu
menjengah fikiran ku ketika ini. Bulan kembali bersinar terang.
Meloloskan diri dari kepungan sang awan. Terang cahayanya tidak jua mampu
menerangi jiwa yang kosong dan hampa. Kedinginan malam kian terasa. Menghambat
segala saraf. Aku masih lagi membisu. “Zam, aku ingin kau jadi seperti
sang bulan itu”. Suara Liza mengejutkan aku. Lantas tangannya ditudingkan ke
arah bulan yang memancar megah. “Bulan memancarkan sinarnya demi
menemani malam yang penuh kegelapan. Mewarnai lukisan kehidupan semesta. Begitu
juga sahabat. Sentiasa di sisi ketika di perlukan. Itulah kau Zam….”. Ujar Liza
sambil senyuman terukir di bibir. Pandangannya segera beralih kearah bulan. Aku
segera mendongak ke langit memandang bulan yang megah bersinar di dada langit.
Kata- kata Liza sudah ku jangkakan. “Aku lebih suka jadi matahari”.
Ujarku gurau. Aku tersenyum. Liza turut tersenyum. “Apa bezanya?. Dua-duanya sama.
Menyinari alam ini. Bukankah itu sifat sahabat”. Liza memberi pendapatnya. Kami tertawa bersama. Walaupun kecewa dengan
kata-kata Liza, tapi itulah realiti yang pahit untuk diterima oleh hati. Kadang-kala, melepaskan sesuatu yang ingin
kita miliki adalah sesuatu perkara yang dungu. Namun, ada masanya lebih baik
melepaskan dari memiliki kerana tidak semua yang kita miliki itu indah. Aku
tiba-tiba bermonolog dengan hatiku sendiri. Aku dan Liza berjalan menuju ke
kereta meninggalkan pantai Harapan yang semakin damai menanti sang pagi
menunjukkan wajah. Aku pasti pagi nanti para nelayan akan kembali menjengah
pantai ini. Seperti selalu. 6.00-10.00 PAGI
“Pukul berapa bas kau”?. Liza
bertanya sebaik sahaja aku selesai membeli tiket. “Jam 6.30 pagi. Kenapa?”. Soal ku.
Waktu ini orang tidak begitu ramai di Puduraya. Banyak kaunter tiket masih lagi
belum di buka. “Saja aku tanya. Terima kasih Zam,”
sambil tersenyum. Aku terkejut dengan ucapan yang tidak disangka-sangka itu. “Untuk apa?”. Aku menggaru-garu
kepala ku yang tidak gatal. “Untuk malam yang indah. Kau sudi
menemani aku. Sepanjang kita berkawan, semalam merupakan hari yang paling
gembira buat aku. Aku akan sentiasa mengingatinya”. Ada keriangan dan kepuasan
terlukis di wajah ayunya. “Aku pun begitu. terima kasih”. Aku
mengukir senyuman. “Liza, aku banyak berfikir malam
tadi. Berfikir tentang hal kita”. Kata-kata ku membuatkan Liza terperanjat. “Aku memikirkan kata-kata kau
semalam.Mungkin itu yang terbaik buat kita”. Ujar ku. Liza diam. Dia kelihatan
serius mendengar setiap patah kata yang ku tuturkan. Sejurus itu dia
menghulurkan tangan untuk berjabat. Aku terpinga-pinga. Kurang mengerti dengan
maksud Liza. “Sahabat?”. Tutur Liza. kegembiraan
jelas terpancar di matanya. Seketika itu aku memahami maksud Liza.Aku segara
menghulurkan tangan untuk berjabat.Aku tersenyum mesra. “Ya, sahabat buat selamanya.” Kata ku.
Kami tersenyum. “Selagi ada matahari menyuluh alam,
dan selagi bulan setia menemani malam. Persahabatan ini akan sentiasa kekal”.
Liza bersuara. Hentian Puduraya mulai
sibuk. Kaunter-kaunter tiket mulai dibuka. Orang kelihatan berpusu-pusu membeli
tiket menuju ke destinasi yang diinginkan. Aku
dan Liza segera bergerak ke tangga platform menuju ke deretan bas yang
sedia menunggu para penumpang. “Jadi, sampai sini saja
‘pengembaraan’ kita kali ini”. Liza menghulurkan tangan untuk berjabat. Tanda
selamat jalan dari seorang sahabat. “Tidak. ‘Pengembaraan’ kita baru
saja bermula.Gurau ku. Tiba-tiba lengan ku terasa pedih. Liza mencubit
lenganku. Mungkin geram dengan seloroh ku. Mukanya masam. Aku ketawa melihat
wajahnya itu. Sebelum aku menaiki bas, Liza sempat berbisik sesuatu. “Zam, tiada sesuatu yang berharga
dalam hidup ini melainkan mendapat seorang sahabat sejati. Aku benar-benar
bersyukur kerana Tuhan mengurniakan kau sebagai anugerahNYA kepada ku.” Bisik
Liza. Bas bergerak perlahan-lahan
meninggalkan Hentian Puduraya. Aku memandang ke luar tingkap bas. Liza
melambai-lambaikan tangannya. Aku membalas lambaiannya. Ada garis-garis duka
diwajahnya. Setitis dua airmatanya tumpah membasahi pipinya. Dan wajahnya Liza
kian menghilang setelah bas mulai meninggalkan Puduraya. Aku terharu dengan
Liza. mungkin jua aku terharu dengan keikhlasan hatinya yang tidak pernah ku
cuba untuk fahami. Mungkin jua terharu kerana ini merupakan pertemuan kali akhir
sebagai sahabat. Mustahil buat aku untuk bertemu Liza lagi. Aku bertambah
terharu bila mengenangkan ‘kebodohan’ yang aku cipta sendiri. Bodoh kerana cuba
menagih cinta dari seorang perempuan yang hatinya mustahil untuk dimiliki. Sedangkan dia
benar-benar ikhlas dan setia dalam persahabatan. Aku segera bersandar.
Merehatkan badan yang di serang keletihan. Memejamkan mata.,seraya berdoa di
dalam hati “Ya Allah, Kau berkati dan
rahmatilah persahabatan kami ini. Jadikanlah persahabatan ini kekal sehingga
hari kami menghembuskan nafas akhir
kelak. Amin. Bas meluncur laju meninggalkan Kuala Lumpur. Kata orang
persahabatan dan cinta itu adalah dua perkara yang berbeza dalam kehidupan ini.
Kedua-duanya sama penting dalam hidup ini. Hidup tidak akan sempurna tanpanya.
Entah! Bagi aku, kedua-duanya adalah sama. Nilainya punyai pengaruh yang besar
dalam kehidupan manusia. Apa pun, aku mengerti bahawa cinta bukan mudah untuk
dipaksa. Persahabatan pula akan berkembang mekar andainya sentiasa bersifat tulus,
ikhlas dan jujur. Aku terlena di dalam bas yang meluncur laju.
Suka artikel ini ?
YOU MIGHT ALSO
Mohon berkomentar Join This Site Show Konversi KodeHide Konversi Kode Show EmoticonHide Emoticon